Pages

Monday, August 13, 2012

Kemeriahan sampul duit raya sempena Aidilfitri

Kanak-kanak adalah insan yang paling gembira setiap kali menjelang Aidilfitri. Selain menyarung pakaian baru, mereka turut teruja menunggu duit raya yang diberikan oleh ibu bapa, sanak saudara dan bila berunjung dari rumah ke rumah.

Menurut definisi pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, objektif sebenar duit raya adalah untuk mengeratkan hubungan antara orang dewasa dengan kanak-kanak. “Sebenarnya pada masa dahulu sebelum pemberian duit raya menjadi amalan popular, kanak-kanak yang datang berkunjung dari rumah ke rumah semasa raya dijamu dengan kuih muih, biskut raya dan minuman ringan.

“Konsep duit raya bukan memberi sedekah kepada pengemis jalanan, sebaliknya tanda hubungan rapat antara orang dewasa dengan kanak-kanak,” katanya. Bagaimanapun, amalan pemberian duit raya sekarang sudah banyak berubah, khususnya dari segi jumlah yang diberikan. Kini tetamu kecil tidak lagi menerima duit syiling, sebaliknya diberikan wang nota bermula daripada RM1 sehinggalah beratus ringgit mengikut kemampuan pemberi.

Dengan itu, cara pemberian juga mula berubah menggunakan sampul, mengikut tradisi pemberian angpau oleh masyarakat Cina. Kaedah pemberian sebegini dilihat lebih elok dan nampak bersopan. Namun, tidak seperti tradisi Cina yang memberikan sampul angpau merah, sampul duit raya muncul dengan pelbagai corak dan penuh warna-warni menarik.

Corak sampul duit raya biasanya akan berubah setiap tahun mengikut trend semasa. Ada yang meletakkan corak masjid, ketupat, dan apa sahaja gambar yang berkaitan dengan bulan Ramadan atau perayaan Aidilfitri sebagai corak sampul. Bagi syarikat-syarikat korporat, badan-badan kerajaan dan pusat-pusat membeli belah, mereka biasanya akan mengeluarkan rekaan tersendiri mengikut syarikat.

Ada juga syarikat percetakan yang mengambil kesempatan menarik pelanggan dengan sampul-sampul watak kartun popular seperti Angry Bird dan Upin-Ipin. Ada juga yang menjadikan gambar idola dan pemain bolasepak sebagai corak sampul untuk melariskan lagi jualan. Tidak hanya dijual di bazaar- bazaar atau di dalam kedai-kedai buku, penjualan sampul duit raya kini diperluaskan ke internet. Lebih banyak rekaan untuk dipilih, serta menjimatkan penggunaan kertas kerana ia hanya dicetak mengikut permintaan.

Antara rekaan terbaru sampul raya tahun ini ialah sampul yang dicetak dengan gambar wang. Jika tahun lepas, wang kertas RM1, RM5, RM10 dan sebagainya menjadi pilihan utama pencetak sebagai rekaan sampul, kemunculan wang baru tahun ini menyebabkan sampul bercetak wang baru dikeluarkan sebagai tanda tarikan. Anda tentunya akan berasa sayang untuk membuangnya kerana rupanya yang seakan-akan duit sebenar.

Corak sampul duit raya yang pelbagai dan menarik menyebabkan ada sesetengah orang yang menjadikannya sebagai bahan koleksi. Tidak hanya cantik dikumpul, ia juga cantik jika dijadikan dekorasi dinding ketika perayaan. Pada anda yang sukakan kreativiti dan kelainan, anda bolehlah menggandingkan kad raya dan sampul duit raya di dinding rumah ketika Aidilfitri nanti.

0 comments:

Post a Comment