Pages

Friday, June 1, 2012

Asalnya Bangsa Melayu




Hipotesis Asal Usul Orang Melayu dan Cerita Seorang Tua
Terdapat banyak sekali hipotesis yang membuat kajian tentang asal usul bangsa Melayu. Bagaimana pun di sini penulis (Syeikh Kerutuk) tidak akan menceritakan atau menerangkan hipotesis berkenaan kerana hanya yang pakar sahaja dapat menjelaskan dan memahaminya.
Di zaman persekolahan dahulu penulis telah didedahkan tentang kaum terawal yang mendiami bumi Tanah Melayu yang kemudiannya dinamakan Malaysia ini. Diterangkan bahawa terdapat kaum Negrito, Melayu Proto dan Melayu Deutro. Semuanya diterangkan dalam angka ribuan malah jutaan tahun wujudnya kaum-kaum tersebut di Tanah Melayu tanpa dinyatakan secara tepat dari manakah asal-usul mereka.
Kemudiannya diterangkan tamadun manusia di Tanah Melayu yang akhirnya didominasikan oleh sejarah Empayar Melayu Melaka sehinggalah era penjajahan bangsa asing dan seterusnya mencapai kemerdekaan. Akhirnya bangsa Melayu dikatakan berpunca dari beberapa negara asing terutama sekali dengan Yunan di negara China dan banyak lagi.
Semenjak itu, tinggalah teka teki dari manakah asalnya orang Melayu sehingga terasa malas serta jemu untuk mengetahuinya lagi. Cukuplah dengan nikmat yang kita ada sekarang. Negara telah mengalami beberapa peringkat kemajuan dan disulami dengan pelbagai rencah permainan politik yang kadang kala menggusarkan perasaan.
Perasaan malas untuk mengetahui asal usul bangsa Melayu tersebut telah tersentak apabila penulis telah berjumpa dengan seorang tua yang asyik menceritakan tentang sejarah orang
Melayu dan kaitannya dengan agama Islam. Banyak juga sejarah yang disampaikan beliau itu bercanggah dengan apa yang dipelajari mahu pun yang telah diketahui penulis.
Siapakah orang tua itu?

Sedikit tentang orang tua tersebut.Beliau adalah manusia biasa seperti kita juga, berusia dalam lingkungan 100 tahun. Tidak tahu membaca dan menulis dalam tulisan rumi. Berpendidikan agama dibeberapa buah pondok di Patani dan Kelantan. Cukuplah sedikit tentang orang tua tersebut kerana beliau bukanlah seorang tokoh penting dalam masyarakat. Tetapi yang menariknya apabila beliau membuka cerita tentang asal usul orang Melayu.
Katanya orang Melayu ini berasal dari keturunan anak cucu Nabi Nuh a.s. Kemudian diceritakan juga bahawa masih terdapat keturunan Bani Adam yang tidak menaiki bahtera Nabi Nuh a.s. semasa peristiwa banjir besar, tetapi terselamat kerana mereka itu beriman kepada Allah SWT. Apabila ditanya keturunan Nabi Nuh yang mana satukah yang mendiami bumi nusantara sekarang ini. Lalu orang tua tersebut memberitahu bahawa; Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falij bin ‘Abir bin Syalikh bin Arfahshad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. Kemudian diceritakan juga bangsa Mongol atau Mughal (tidak jelas sebutannya kerana lidah beliau sedikit pelat kerana faktor usia serta berdielek Kelantan).
Orang tua tersebut memberitahu pengetahuan yang ada padanya hanya setakat itu sahaja berkaitan asal usul orang Melayu di Nusantara ini. Kerana katanya bahawa mengamal ajaran Islam itu lebih utama daripada mengetahui asal usul tanpa mengambil apa-apa manfaat darinya.
Apabila dikaitkan hipotesis dan cerita dari orang tua tersebut didapati terdapat hampir 99% persamaan.
Bagaimana ianya begitu hampir?

Secara ringkasnya hipotesis adalah berdasarkan daripada kajian yang diambil dari berbagai sumber. Sumber-sumber tersebut merupakan bukti yang nyata.
Manakala cerita orang
tua tersebut pula berkemungkinan berasal dari guru-guru agama terdahulu atau mungkin beliau telah dianugerah oleh Allah Taala dengan sedikit kelebihan tertentu.

Bangsa Melayu Berasal Dari Nabi Nuh a.s.
Kisah Nabi Nuh a.s. memang disebutkan di dalam Al-Quran. Anaknya yang bernama Kan’an telah mati ditelan banjir kerana tidak mahu mengikuti orang-orang beriman bersama menaiki bahtera Nabi Nuh a.s. Kaum Nabi Nuh yang selamat di atas bahtera tersebut berjumlah kira-kira 80 orang termasuk 3 orang anak Nabi Nuh; Ham, Yafith dan Sam. Jadi daripada keturunan mereka inilah yang menurunkan zuriat seterusnya.
Hipotesis yang diterangkan juga menyatakan Ham bin Nabi Nuh a.s. telah menuju Afrika dan seterusnya sebahagian dari keturunannya telah belayar dan tiba di Nusantara ini digelar sebagai Melayu-Proto. Bangsa ini telah hidup bermasyarakat dan telah mendirikan kerajaan-kerajaan Melayu purba di Nusantara. Antara kerajaan tersebut ialah Kerajaan Naga dan Kerajaan Punt.
Sebahagian dari mereka dari Nusantara ini telah meneruskan pelayaran pula ke kepulauan Pasifik dan membentuk etnik Marina di Hawaii, Maori di New Zealand dan sebagainya.
Keturunan terus dari Nabi Adam a.s.
Terdapat juga sebahagian kecil anak cucu Nabi Adam a.s. yang bukan dari umat NabiNuh a.s., terselamat walaupun tidak menaiki bahtera Nabi Nuh semasa peristiwa banjir besar. Ini kerana mereka beriman dengan ajaran Nabi Adam a.s. serta telah mendapat perlindungan dari Allah SWT.
Di dalam hipotesis juga menyebut, sebelum kedatangan Melayu-Proto (anak cucu Nabi Nuh a.s. dari keturunan Ham bin Nuh), telah terdapat satu kaum telah mendiami Tanah Melayu. Kaum ini adalah aborigin yang dinamakan kaum Negrito.
Hipotesis tersebut juga menghuraikan bangsa bangsa Scythia iaitu induk kepada orang Eskimo, orang asli di Yunan, Dai, Taiwan serta orang asli Ainu di Jepun. Bangsa Scythia ialah sebuah bangsa nomad yang berkerajaan di kawasan Asia Tengah. Juga didapati dari kajian bahawa bangsa Melayu juga mempunyai kaitan darah (keturunan) dengan bangsa Scythia ini beribu tahun dahulu.
Keturunan Melayu dari Sam bin Nabi Nuh a.s.
Menjadi kehairanan kepada penulis apabila orang tua yang ditemui tersebut menyebut bangsa Melayu yang berasal dari keturunan Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falij bin ‘Abir bin Syalikh bin Arfahshad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. Kemudian menyatakan setakat itu sahaja pengetahuannya serta mengamalkan ajaran Islam lebih utama dari mengetahui asal usul tanpa mengambil sebarang manfaat darinya.
Menurut hipotesis bangsa Melayu, orang Melayu berpunca dari keturunan hasil perkahwinan Nabi Adam a.s. dan Siti Keturah, iaitu isteri ketiga baginda.
Seperti yang diketahui bahawa keturunan Nabi Ibrahim a.s. ialah: Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falij bin ‘Abir bin Syalikh bin Arfahshad bin Sam bin Nabi Nuh a.s.
Kenapa orang tua tersebut tidak menceritakan Nabi Ibrahim bin Azar dan seterusnya? Mungkin betul beliau tidak mengetahuinya atau ada sebab-sebab lain yang tidak diketahui.
Perkahwinan Nabi Ibrahim a.s. dengan Siti Keturah telah melahirkan 6 orang anak. Daripada 6 orang anak ini telah melahirkan bangsa-bangsa yang gagah serta kerajaan yang kuat seperti Cheldia, Media dan Parsi. Melalui asimilasi dan perkahwinan antara saudara dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. dan Siti Keturah ini lahirlah bangsa yang dinamakan Melayu.
Bangsa Melayu dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. dan Siti Keturah inilah yang dinamakan Melayu-Deutro.
Siapakah Keturah? Siti Keturah ialah dari keluarga diraja yang digelar Kerajaan Naga berbangsa Melayu-Proto. Raja Naga (yang didakwa bernama Raja Soma) dikatakan memerintah Kerajaan Naga di Kamboja/Champa.

Kelak dari bangsa Melayu-Deutro (keturunan Nabi Ibrahim-Siti Keturah) ini kemudiannya mengambil alih pemerintahan di Champa seperti
catatan prasti Champa menyatakan pada tahun 192 Masehi, Champa diperintah oleh Raja Sri Mara/Mala. (Nota: Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan pada tahun 571 Masehi). Daripada keturunan Raja Sri Mara lahirlah dinasti-dinasti pemerintahan Champa dan kerajaan Melayu lain di Indocina seperti kerajaan Tambralingga serta lain-lainnya. Empayar Sriwijaya yang wujud dari abad ke-7 hingga abad ke-11 adalah kerajaan diperintah oleh keturunan Nabi Ibrahim a.s. dan Keturah.

Melayu dari Champa inilah yang berhijrah ke Tanah Melayu seterusnya berjumpa semula dengan saudara sebangsa mereka di Palembang (Sumatera) yang datang melalui jalan laut.

Kesimpulannya ialah bangsa Melayu telah lama wujud di nusantara, dianggarkan semenjak 4,000 tahun dahulu setelah peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh a.s. Bangsa Melayu dilahirkan dari keturunan anbiya seterusnya bangsa-bangsa agung yang memimpin dunia. Melayu telah wujud (membuka) Tanah Melayu dan berkerajaan sejak beribu tahun dahulu sebelum bangsa-bangsa lain datang kemudiannya.
### Artikel ini saya ambil dari Blog Bingkisan Anak Bani Jawi. Ianya membuka dimensi/pandangan baru tentang sejarah bangsa Melayu. Apa yang diutarakan sangat berbeza dari apa yang saya belajar di sekolah dahulu...

0 comments:

Post a Comment