Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong,
Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu
tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air (Ini bermakna hampir
sebulan lagi genap 24 tahun kejadian tersebut). Lebih 3000 anggota
keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan
Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’
yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam
Se-Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra
dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin
Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat
bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS
akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan
lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun
khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah
dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.
Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman
pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr
Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh
ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam.
Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah
merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain
dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai
‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi
dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya
membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada
ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.
Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang
mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak
pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan
dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan
label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya.
Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah
menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak
keselamatan mula dilakukan dengan hebat.
Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir
seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari
ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar
atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera.
Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan
pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata
orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya
dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya
dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam
tempoh menjelang operasi.
Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung
telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk
Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada
Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar
dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka
mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang
sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’
berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan
kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh
kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata,
pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala
macam kelengkapan lain.
Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat
yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang
mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis
dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan
pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan
polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui
bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat
diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov
tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di
sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat
didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama
Islam.
Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini,
Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri
Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan
utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh
tersebut.
Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust
Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong
perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan
majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli
jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi
ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah
semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada
pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.
Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein
dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap
melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar
mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust
Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada
kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa
kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah
yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang
bertentangan dengan Islam.
Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya
berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri
Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang
sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim.
Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan
memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan.
Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak
mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat !
hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur.”
Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.
Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya
orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan
dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu.
Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda,
wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu
Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang
sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi
menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan
buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih
tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan
parang dan pisau.
Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan
water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu
berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan
dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi
mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu
Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam
dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat
parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus
menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi
tersebut.
Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari
kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima
hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim
dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’,
pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya,
beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”.
Si isteri menjawab, “abang ditembak.”
Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg.
Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang
rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan
dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari
pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam
trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat
menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak
terajang. Mereka menyebut, “ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk
kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera
dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau
orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.
Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan
semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka
bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa
Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13
yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati
syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok
Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan
agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah,
mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati
sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai
orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para
korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian
mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah
beberapa hari ditembak.
Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke
mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam
fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia
(sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa
klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan
ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001
dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini,
genap 23 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak
bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini
tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut.
Mereka tidak bersalah.
Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi
saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional
kini telah menghadap Allah s.w.t.
Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan
memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis
yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu
syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada
situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini
yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan
memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan,
sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam.
Al-Fatihah Untuk Para Syuhada’ Memali
Tuesday, May 29, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment