Tapak pesawat Penerbangan Malaysia MH635 yang terhempas di Tanjung
Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977 kini hanyalah sebuah
belukar tinggal. Ia menyembunyikan 1,001 misteri yang belum sempurna
terjawab.
ANTARA faktor pemula kisah yang disiarkan ini ialah cerita-cerita
yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh para pemandu teksi di sekitar
Johor Bahru. Mereka menyebarkan cerita tentang kelibat wanita berpakaian
seperti pramugari pada waktu malam di jalanan sekitar Jalan Kebun Teh
dan juga di Gelang Patah, Johor.
"Wanita itu meminta dihantarkan ke salah satu destinasi itu. Kawan
saya pernah terkena sebelum ini. Apabila ditanya wanita itu kenapa dia
mahu turun di tempat yang gelap dan bukan kawasan perumahan, wanita itu
tiba-tiba ghaib dari tempat duduk penumpang.
"Ada pula yang sempat dijawab wanita itu. Katanya, 'bang, saya nak
cari tangan saya yang putus'. Gugur jantung saya," cerita seorang
pemandu teksi, Yusof Mohamad, yang menggeleng-gelengkan kepala sambil
berdoa dirinya tidak diuji dengan pengalaman seperti itu.
Ramai orang di bandar raya Johor Bahru maklum tentang kisah seram
tersebut. Sama ada mendapat respons ketawa atau rasa takut yang
melampau, ia sebenarnya merantai ingatan mereka terhadap sebuah tragedi
dahsyat yang pernah berlaku lebih tiga dekad lalu.
Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam
sejarah Penerbangan Malaysia (MAS). Penerbangan MH653 yang membawa
seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal telah meletup dan
terhempas di sebuah kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah,
Johor.
Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau
Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas
kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.
Kegemparan itu mengejutkan sekalian penduduk kampung nelayan di situ.
Ada yang berkurung dan segera menutup pintu kerana ketakutan. Ada pula
penduduk yang berani bergegas ke tempat kejadian.
"Saya ternampak gugusan api yang marak menyala di langit. Sejurus ia
terhempas ke bumi, bergegar jadinya kawasan ini. Semua orang terdiam dan
berdebar-debar," ujar seorang warga Kampung Tanjung Kupang, Ahmad
Puteh, yang sewaktu kejadian itu berusia 26 tahun dan masih bujang.
Segalanya masih jelas dalam memori nelayan berusia 58 tahun itu.
Menurutnya, hanya selepas setengah jam, baru dia nekad untuk melihat
'raksasa' apakah yang jatuh ke kampungnya itu.
Kutip duit berguni
Dalam gelap malam yang diterangi api yang masih marak, orang kampung
sungguh terkejut apabila mendapat tahu yang jatuh itu adalah bangkai
kapal terbang.
"Sebelum kedatangan pihak berkuasa, saya melihat beberapa orang
kampung sibuk mengutip sesuatu di tanah. Duit berselerak macam daun
pokok getah.
"Malah ada yang dapat kumpul hingga berguni-guni banyaknya," katanya
yang tidak berani mengambil, namun tidak menafikan bahawa sesiapa pun
akan tergerak hati untuk memungut not-not kertas wang ringgit, yen
Jepun, dolar Amerika dan pound sterling di sekitar kawasan tragedi.
"Saya dengar cerita, beg-beg yang berisi pakaian dan barang kemas pun
dijumpai orang kampung. Bila tengok barang-barang macam itu, mereka pun
'menyelit-nyelit'lah.
"Paling kecoh, apabila ada seorang yang ternampak cincin lalu ingin
memungutnya secara diam-diam. Rupa-rupanya, cincin itu masih tersemat
pada sebatang jari yang sudah putus!" kata seorang suri rumah, Zaiton
Dol, 47, tentang tabiat rakus orang kampung.
"Entah siapa agaknya yang membawa wang tunai begitu banyak. Tapi bila
difikirkan balik, memang ramai orang kenamaan dalam kapal terbang itu,
kan? Mesti barang-barang itu milik mereka," katanya.
Selain mengorbankan seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, dan Duta
Cuba ke Malaysia, Mario Garcia serta isterinya, tragedi pesawat MH653
itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua
Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya
Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad, dan Timbalan Ketua Pengarah
Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican.
Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime
turut terkorban bersama-sama puluhan penumpang dan petugas kabin. Tiada
seorang pun yang terselamat dalam pesawat yang dipandu juruterbang
Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu.
Seorang lagi penduduk kampung yang teruja menceritakan kisah itu
ialah Siti Rahmah Ismail, 39. Walaupun ketika kejadian dia baru berusia
tujuh tahun, Siti Rahmah masih mengingati banyak perkara.
"Budak-budak disuruh tidak keluar dari rumah. Maklumlah, ibu bapa
kami takut perkara buruk terjadi kepada kami. Keadaan semakin kecoh
apabila pihak berkuasa dan keselamatan yang terdiri daripada anggota
polis, tentera, bomba dan ambulans tiba tidak lama kemudian. Kerja-kerja
menyelamat berlarutan ke lewat malam," imbasnya.
Keesokannya, udara kampung menjadi tidak nyaman. Ramai yang terkejut
apabila terjumpa atau ternampak dari jauh kecaian daging dan tulang
manusia yang bersepah dan membusuk. Lebih meloyakan adalah apabila isi
perut yang terburai dilihat tersangkut pada ranting dan dahan pokok
bakau.
"Ramai yang tidak boleh tidur malam kerana dibayangi pemandangan itu.
Apatah lagi mereka diganggu mimpi ngeri, terutama mereka yang telah
mencuri simpan barang peribadi milik mangsa nahas," kata Ahmad.
"Siapa yang mengambil milik orang pada malam kejadian, terimalah
habuannya. Mereka tidak tenang. Sampai ada yang sakit seperti terkena
badi hingga terpaksa dibawa berubat," tambah Zaiton pula.
Suara jeritan
Ahmad mengakui, selama beberapa tahun, Kampung Tanjung Kupang
terutama di kawasan tragedi itu seperti berhantu. Semua orang takut
untuk melaluinya.
"Kalau menaiki motosikal di daratan atau menaiki bot di sebelah paya
bakau itu, pasti akan terdengar suara-suara kelam seperti orang
menjerit, meratap dan memekik meminta tolong.
"Penghuni rumah yang paling dekat dengan tempat kemalangan juga telah
lama berpindah sejak tragedi itu berlaku," kata Ahmad mengenai sebuah
rumah tinggal yang terletak kira-kira 100 meter dari rebakan api bangkai
MH653.
Kru Jurnal yang mengunjungi Tanjung Kupang kelmarin nekad
'menceroboh' masuk tapak tragedi walaupun mengetahui laluan masuknya
sudah dipagar kerana telah menjadi milik Pelabuhan Tanjung Pelepas
(PTP). Sewaktu memperlahankan kereta di sebatang jalan yang sempit,
tidak pula terasa apa-apa yang meremangkan bulu roma.
Semakin kereta kami ditelan belukar yang kian meliar, bau busuk
tiba-tiba menusuk hidung. Namun, bau itu bukan daripada bau reputan
daging manusia seperti yang diceritakan sebelumnya. Saat tiba di
penghujung jalan, kami menemui sebuah kandang lembu yang diusahakan oleh
seorang penduduk kampung, Mohamad Nor Kamaludin, 34.
"Daripada kawasan ini terbiar, biarlah saya memanfaatkannya. Lagipun
kandang ini hanya sementara," kata Mohamad yang seakan-akan tahu tujuan
kedatangan kami.
"Memang di sinilah tempat kapal terbang itu jatuh. Kisah tragedi itu
sudah lama berlalu, tak ada apa pun yang menakutkan di sini. Silakanlah
ambil gambar. Orang kata, masih ada tayar kapal terbang di hujung tanah
sana. Kalau ada pun, pasti dah tenggelam ke dalam lumpur," ujarnya.
Menurut sumber daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, tempat tragedi
pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800
hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan PTP secara
konsesi. Ia sekadar dirizab sebagai zon bebas aktiviti manusia.
Paya hangus yang telah mengorbankan 100 jiwa itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder. Wartawan Jurnal
sekadar menemui sebuah terusan air dan benteng tanah laterit yang
ditinggikan bagi memisahkan kawasan belukar darat dengan kawasan bakau
yang semakin teranjak melebihi garis air laut.
Di situlah 32 tahun lalu berlaku sebuah tragedi yang telah menggemparkan negara.
Sunday, June 3, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment