Kanak-kanak adalah insan yang paling
gembira setiap kali menjelang Aidilfitri. Selain menyarung pakaian baru,
mereka turut teruja menunggu duit raya yang diberikan oleh ibu bapa,
sanak saudara dan bila berunjung dari rumah ke rumah.
Menurut definisi pakar sejarah, Prof.
Datuk Dr. Ramlah Adam, objektif sebenar duit raya adalah
untuk mengeratkan hubungan antara orang dewasa dengan
kanak-kanak. “Sebenarnya pada masa dahulu sebelum pemberian duit raya
menjadi amalan popular, kanak-kanak yang datang berkunjung dari rumah ke
rumah semasa raya dijamu dengan kuih muih, biskut raya dan minuman
ringan.
“Konsep duit raya bukan memberi sedekah
kepada pengemis jalanan, sebaliknya tanda hubungan rapat antara orang
dewasa dengan kanak-kanak,” katanya. Bagaimanapun, amalan pemberian duit
raya sekarang sudah banyak berubah, khususnya dari segi jumlah yang
diberikan. Kini tetamu kecil tidak lagi menerima duit syiling,
sebaliknya diberikan wang nota bermula daripada RM1 sehinggalah beratus
ringgit mengikut kemampuan pemberi.
Dengan itu, cara pemberian juga mula
berubah menggunakan sampul, mengikut tradisi pemberian angpau oleh
masyarakat Cina. Kaedah pemberian sebegini dilihat lebih elok dan nampak
bersopan. Namun, tidak seperti tradisi Cina yang memberikan sampul
angpau merah, sampul duit raya muncul dengan pelbagai corak dan penuh
warna-warni menarik.
Corak sampul duit raya biasanya akan
berubah setiap tahun mengikut trend semasa. Ada yang meletakkan corak
masjid, ketupat, dan apa sahaja gambar yang berkaitan dengan bulan
Ramadan atau perayaan Aidilfitri sebagai corak sampul. Bagi
syarikat-syarikat korporat, badan-badan kerajaan dan pusat-pusat membeli
belah, mereka biasanya akan mengeluarkan rekaan tersendiri mengikut
syarikat.
Ada juga syarikat percetakan yang
mengambil kesempatan menarik pelanggan dengan sampul-sampul watak kartun
popular seperti Angry Bird dan Upin-Ipin. Ada juga yang menjadikan
gambar idola dan pemain bolasepak sebagai corak sampul untuk melariskan
lagi jualan. Tidak hanya dijual di bazaar- bazaar atau di dalam
kedai-kedai buku, penjualan sampul duit raya kini diperluaskan ke
internet. Lebih banyak rekaan untuk dipilih, serta menjimatkan
penggunaan kertas kerana ia hanya dicetak mengikut permintaan.
Antara rekaan terbaru sampul raya tahun
ini ialah sampul yang dicetak dengan gambar wang. Jika tahun lepas, wang
kertas RM1, RM5, RM10 dan sebagainya menjadi pilihan utama pencetak
sebagai rekaan sampul, kemunculan wang baru tahun ini menyebabkan sampul
bercetak wang baru dikeluarkan sebagai tanda tarikan. Anda tentunya
akan berasa sayang untuk membuangnya kerana rupanya yang seakan-akan
duit sebenar.
Corak sampul duit raya yang pelbagai dan
menarik menyebabkan ada sesetengah orang yang menjadikannya sebagai
bahan koleksi. Tidak hanya cantik dikumpul, ia juga cantik jika
dijadikan dekorasi dinding ketika perayaan. Pada anda yang sukakan
kreativiti dan kelainan, anda bolehlah menggandingkan kad raya dan
sampul duit raya di dinding rumah ketika Aidilfitri nanti.